Cerpen : Cukuplah Sekali


" Aku terima nikahnya Azyan Liyana Binti Ikram dengan mas kahwinnya RM1600 tunai. "

Dengan sekali lafaz sahaja, Azyan telah sah menjadi isteri kepada Kamal Hijjaz. Jantung yang setia berdegup kencang tadi menjadi lebih rancak apabila melihat Kamal menghampiri dirinya yang bersimpuh di atas kusyen  putih gading. Sesuai dengan tema pernikahannya. Azyan hanya tersenyum hambar apabila melihat wajah ibu mertuanya yang berseri-seri menemaninya di tepi.

" Tunggu apa lagi tu, Yan. Sambutlah salam suami awak tu. " ujar Puan Ilya.

Azyan terus menyambut huluran tangan lelaki yang baru sah menjadi miliknya. Renungan tajam dari Kamal tidak diendahkan. Renungan dan senyuman bahagia dari tetamu-tetamu yang hadir pada hari 'bahagia' mereka cukup memuaskan hati pihak ramai kecuali seorang.

" Kau jangan berangan nak hidup bahagia dengan aku. "

Azyan tersentak apabila mendengar kata-kata Kamal. Tapi apakan dayanya hendak melawan. Hatinya cuba untuk memujuk dirinya agar tidak terasa. Semua ini adalah yang terbaik dia dapat lakukan. Bukan kehendaknya untuk menyeksa dan bukan kehendaknya mementingkan diri sendiri. Mungkin suatu hari nanti, semua orang akan faham. Senyuman manis dihadiahkan kepada Kamal.

----

" Ibu! Kamal tak nak dia jadi isteri Mal! Ibu tolonglah faham. "

" Kamal, Azyan merupakan yang terbaik buat Kamal. Kamal nak apa lagi? "

" Kamal tak suka dia. Kamal tak cintakan dia! Dia pembunuh, pemusnah kebahagiaan orang ibu! "

" Kamal! Ibu tak pernah ajar Kamal kasar macam ni. Semua yang berlaku bukan salah Azyan! Itu semua takdir Allah, Mal. Kamal mesti terima hakikat akan apa yang terjadi dalam hidup Kamal. "

" Argh! Malaslah! Ibu dari dulu lagi berpihak belah Azyan sahaja. "

" Kamal! Jika Kamal tolak perjodohan ini, ibu tak akan anggap Kamal sebagai anak ibu lagi! "

Kamal berlalu pergi membawa hati yang sedang marah. Azyan yang bersembunyi di tingkat atas hanya mampu menitiskan air mata. Puan Ilya yang sedang menuju ke tingkat atas tersentak apabila melihat Azyan yang sedang mengesat air matanya. 

" Azyan, Yan jangan ambil hati dekat apa yang Kamal katakan. "

" Tapi ibu, dia tak akan pernah suka kat Yan. Yan kan pembunuh, pemusnah kebahagiaan orang. "

" Shh! Azyan bukan pembunuh atau pemusnah kebahagiaan siapa-siapa. Azyan merupakan orang yang paling baik ibu pernah jumpa tau. Tapi sayang Kamal tak nampak. Mungkin kita patut cerita dekat dia je Azyan. Biar dia sedar. "

" Ibu jangan! Ibu kan dah janji tak akan cerita kat sapa-sapa. Biar perkara nie jadi antara kita je, ibu. "

Puan Ilya menghadiahkan senyuman simpati buat Azyan. Begitu murninya hati Azyan sehingga sanggup memperjudikan diri sendiri untuk hidup Kamal. Ingin sahaja dirinya membongkarkan segala yang tersimpan tetapi janji tetap janji. 

----

4 bulan kemudian...

Azyan duduk termenung di ruang pejabatnya. Keluhan lemah dilepaskan. Pada hari ini, sudah masuk 4 bulan usia perkahwinannya dengan Kamal tetapi setiap hari ditemani layanan yang amat dingin diterimanya. Kamal Hijjaz. Suami sendiri yang melayan isteri sendiri dengan layanan yang dingin. Tidak ketinggalan juga setiap kata cacian yang dihamburkan buat dirinya. Pasrah merupakan perkataan yang sesuai buat dirinya.

Azyan mengerutkan dahinya, menahan sakit yang sangat menyeksakan sedang menyerang kepalanya. Botol ubat yang elok terletak di dalam beg tangannya dicapai lalu ditelan 2 biji ubat yang terkandung dalam botol tersebut. Sekarang, sakit yang dialami bagai tidak pernah hilang. Kerap kali menyerang dirinya. 

" Mungkin aku banyak sangat makan makanan yang berlemak kot. Maybe I should take a nap. "

Kamal menapak masuk ke ruang pejabat Azyan lalu mencari kelibat Azyan. Matanya berhenti mencari apabila meilhat susuk tubuh milik Azyan baring di atas yang berdekatan. Dengkuran halus menyapa telinga Kamal. Perlahan-lahan kaki Kamal melangkah ke arah sofa tersebut. Diperhatikan wajah isterinya yang sedang nyenyak melangkah ke alam mimpi. 

" Hmm, cantik tapi hati busuk. "

Tubuh Azyan mula menunjukkan tanda ingin bangkit dari tidur. Kamal yang tersedar akan ketelanjurannya mengeluarkan suara terus berdiri menjauhi tubuh isterinya. Azyan yang terbangun mendengar suara Kamal menenyeh matanya. Kepalanya masih berdenyut-denyut. Kelibat Kamal menyapa retina matanya. 

" Err, awak buat apa kat sini? "

" Tahu pun bangun. Ingatkan tak reti nak bangun tadi. Aku nak jemput kau lah. Ibu ajak makan malam kat rumah. Cuba kau tengok sekarang ni dah jam berapa. "

" Ma... maaf. Kepala saya sakit sangat tadi, tu yang tidur tu. "

" Kau memang ada banyak stok alasan kan? Sama macam dulu juga. Dahlah, cepat sikit. Aku tunggu kat dalam kereta. "

Azyan hanya menunduk apabila mendengar kata-kata yang dilontarkan oleh Kamal. Hampir saja air jernih gugur di depan Kamal. Tapi ditahannya, tidak ingin nampak lemah dan menunjukkan kepedihan yang beraja di hati. Segera senyuman hambar dihadiahkan kepada Kamal. Kamal yang melihat hanya menjeling tajam lalu berlalu pergi menghempaskan pintu pejabat Azyan sehingga berdentum bunyinya. Keluhan berat dilepaskan. Azyan terus mengemas barangnya.

----

Wajah Puan Ilya berseri-seri menyambut anak dan menantunya. Rindunya yang berminggu-minggu ditahan akhirnya terlepas juga melihat wajah wanita di sebelah anaknya. Jelas kelihatan kesedihan dan keletihan di wajah Azyan. 

" Assalamualaikum ibu. Maaf tak dapat jenguk ibu kebelakangan ini. "

" Waalaikumsalam. Takpe tu. Tengok Azyan saja dah cukup. Hah kamu ni Kamal, kenapa tak selalu bawa Azyan balik rumah ibu? "

" Takde masa, ibu. " 

Kamal terus melangkah masuk ke dalam rumah dengan muka masamnya. Azyan yang melihat perubahan di wajah ibunya terus senyum dengan cerianya. Hatinya menyatakan bahawa ibunya pasti terasa dengan sikap anak lelakinya itu. Semuanya berpunca dari dirinya. Sejak pernikahan mereka hari itu, hubungan Kamal dengan ibunya semakin renggang. 

" Emm, ibu. Jom masuk. Ibu mesti masak sedap-sedapkan untuk menantu ibu yang tersayang ni. "

" Hah? Oh ha ah. Jom masuk. Azyan makan puas-puas ye. Sekarang ni, ibu tengok Yan makin kurus pulak. Ada apa-apa masalah ke? "

" Eh, takdelah ibu. Semua baik-baik saja. Azyan banyak kerja kot dekat pejabat. Sebab tu lah. "

Puan Ilya hanya mengangguk. Tak ingin melanjutkan perbicaraan mengenai rumah tangga anaknya. Tumpah rasa kasihnya kepada Azyan. Bukannya dia tidak sedar anaknya sangat dingin dengan menantunya. Semuanya hanya kerana salah faham yang berlaku di masa yang lalu. Tak semena-menanya Azyan dituduh sebagai pembunuh dan pemusnah kebahagiaan. 

Seusai makan malam, Azyan menapak ke atas menuju ke bilik tidur. Sakit kepalanya makin kerap menyerang dirinya sekarang. Seperti biasa, ubat painkiller menjadi teman ketika sakit. Sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam bilik, wajah Kamal menyapa pandangan. 

" Emm, awak dah mandi? Nak saya sediakan baju? "

" Tak payah. Kau tak payah nak baik dengan aku. Aku tak mudah terpedaya macam ibu. Kau luaran je cantik, tapi dalam siapa yang tahu kan? Menyesal aku kau jadi anak angkat dalam keluarga ni. "

" Kalau pun awak benci saya, tak payah nak hina diri saya. Saya ada maruah! "

" Ada maruah kau kata? Biar aku tanya, orang tu ada maruah ke kalau dia sanggup bunuh kawan baik sendiri? Ada maruah ke kalau dia tetap nak berlagak baik lepas kesalahan besar yang dilakukan? Ada maruah ke kalau sanggup khianati kawan sendiri merangkapkan tunang abang angkat dia? "

Azyan yang mendengar luahan Kamal terus terdiam dan menunduk. Dia tahu topik ini pasti akan diungkit. Ungkapan yang pasti akan menutup mulutnya daripada terus melawan. Sebak di hati makin terasa diiringi denyutan kuat di kepalanya.

" Huh! Kenapa diam? Betullah kan? Oh, aku tahu. Pesalah mana lah yang nak mengaku kan? "

Kamal hanya menghadiahkan senyuman sinis kepada Azyan. Bunyi pintu tandas berdentum dengan kuatnya apabila dihempas oleh Kamal. Air jernih terus gugur dari tubir mata miliknya. 2 biji painkiller ditelannya dengan sisa esakan halus. Sejak petang tadi migraine kerap kali menyerang, malah sejak Kamal menghamburkan amarahnya tadi, sakit itu makin perit dirasakan.  

----

" Kau ni dahlah pembunuh, perempuan gatal lagi tu! "

Azyan yang sedang dalam perjalanan pulang ke pejabatnya selepas lunch bersama dengan klien tersentak apabila mendengar jeritan Kamal. Azyan hanya mengerling melalui ekor matanya lalu terus menyambung perjalanannya.

" Huh! Dah memang hati tu busuk kan, semuanya busuk. "

Sebaik sahaja ungkapan tersebut menyapa halwa telinga Azyan, terus badannya berpaling ke arah Kamal. Kini, kesabarannya sudah tercabar kerana maruahnya terlibat sekali. Banyak kali hatinya mengungkapkan istighfar bagi meredakan amarah yang sedang melanda.

" Awak nak apa lagi? Tak habis-habis nak caci saya! "

" Dah terang-terang kau makan dengan lelaki lain. Siap bergelak ketawa lagi. "

Kamal menghamburkan segala kemarahannya. Apabila melihat kelibat Azyan dengan seorang lelaki yang sebaya dengannya, hatinya terus terasa hangat dan dipenuhi dengan kemarahan. Dengan renungan dari lelaki itu membuatkan dirinya tidak keruan. 

" Dia hanya klien. Bukan sesiapa. Tadi pergi lunch bincangkan pasal projek. "

" Alasan, alasan, dan alasan. Dahlah, malaslah nak cakap dengan penipu. "

Kamal terus melangkahkan kakinya melintas jalan raya dengan sisa amarahnya. Keadaan di sekeliling tidak dipedulikan lagi. Azyan yang memerhatikan Kamal terus panik lalu berlari ke arah Kamal dan menolak tubuh itu. Kamal yang tertolak itu tersungkur di tepi jalan. Sesaat kemudian, semuanya kelam.

----

Kamal tersedar dari pengsan selepas kepalanya terhantuk pada batu kecil yang terletak di tepi jalan. Perlahan-lahan Kamal membuka matanya. Terlihat Puan Ilya sedang duduk di sisi sambil memegang tangannya. Mata ibunya berkaca apabila melihat anaknya. Kamal memandang Puan Ilya, meminta penjelasan akan apa yang telah berlaku. 

Puan Ilya yang mengerti akan pandangan anaknya terus menggelengkan kepalanya. Esakan halus tadi kian menjadi lebih kuat menyapa pendengaran. Kamal memerhatikan sekitar ruang wad didiaminya. Kelibat Azyan tidak kelihatan. 

" Ibu, Kamal baik-baik saja. Ibu janganlah nangis. "

Puan Ilya hanya mengangguk tapi air matanya terus gugur dari pelupuk mata. 

" Ibu, err, Azyan mana, ibu? Dia tak sudi kan nak lawat Kamal? Maklumlah, dia kan kejam. "

" Kamal! Cukup, nak. Cukup! Azyan bukanlah seperti yang kamu sangkakan selama ini. Semuanya hanyalah salah faham. "

" A...apa maksud ibu? Azyan baik? Pembunuh kawan baik sendiri baik ibu kata? "

" Dia bukan seorang pembunuh! Sejak kejadian itu, Kamal terus menyalahkan Azyan atas apa yang berlaku sebelum Kamal siasat apa yang sebenarnya berlaku. "

Puan Ilya pun terus membongkarkan rahsia yang disimpannya selama ini kerana tidak tahan mendengar cacian yang dilontarkan oleh Kamal terhadap Azyan. Kamal yang mendengar segala penjelasan dari ibunya. 

----

" Wani, jangan bertindak terburu-buru. Ingat Allah, Wani! "

" Hey! Kau jangan nak tunjuk lagak baik sini. Disebabkan dia, keluarga aku pergi meninggalkan aku! AKu jadi sebatang kara di dunia ini! " 

" Wani, jatuhkan pisau tu. Puan Ilya tak salah. Perkara itu bukan kehendaknya. Kemalangan itu berlaku tanpa disengajai. Ini semua takdir Allah, Wani. Allah lebih sayangkan keluarga Wani. Kita sebagai manusia hanyalah berserah kepada Yang Esa sahaja.  "

" Azyan, Azyan. Orang tua ni dah hancurkan hidup aku! Disebabkan dia semua yang aku sayangi, semuanya pergi meninggalkan aku! Aku tak sangka ibu Kamal yang menyebabkan kematian ayah, ibu dan adikku. Kalau aku tak bertunang dengan Kamal, aku takkan tahu perkara ini. Sekarang, Kamal harus rasai apa yang aku alami selama ini! "

Wani, sahabat baik Azyan, terus menyerang Puan Ilya yang pengsan. Azyan yang sedar akan tindakan rakan karibnya itu terus menerkam tangan Wani sehingga melukakan lehernya. Sehinggalah suatu saat, Azyan  telah menolak tubuh Wani sehingga Wani terjatuh lalu menikam dirinya sendiri. Kamal yang baru tiba di tempat kejadian terus memarahi dan menuduh Azyan kerana telah menyebabkan kematian tunangnya, Wani. 

Azyan yang mendengar amarah dari Kamal hanya mendiamkan diri dan menyatakan kepada Puan Ilya suapaya menyimpan rahsia tersebut kerana dirinya tidak ingin Kamal menanam rasa benci terhadap tunangnya kerana ingin membalas dendam atas apa yang berlaku pada suatu masa dahulu.  

Kamal terus menggurgurkan air matanya setelah ibunya habis menceritakan apa yang sebenarnya terjadi. Tidak disangkanya selama ini dia telah salah menilai. Terlalu mencintai seseorang sehingga cinta itu membutakan matanya untuk menilai kebenaran.

" Kalau Mal perhatikan dekat leher Azyan, kesan luka daripada kejadian itu masih berbekas. Disebabkan Yan, ibu masih berada disini pada hari ini. "

" Maaf kerana mengganggu anda. Emm, Puan Ilya. Anak puan, Azyan Liyana sekarang sudah dalam keadaan stabil, cuma dia belum sedarkan diri lagi. Mungkin dia akan koma selama beberapa hari. Puan boleh pergi melawat pesakit sekarang. "

Puan Ilya terus mengucapkan syukur kepada Allah S.W.T . Kamal yang mendengar kata-kata doktor tadi terus memandang ibunya meminta penjelasan. Puan Ilya menyeka air mata anaknya lalu memberi pandangan sayu.

" Azyan yang selamatkan Mal daripada kemalangan tadi, tapi malanganya sebagai ganti Mal, Yan pula yang terkena. Mal hanya cedera ringan sahaja sebab kepala Mal terhantuk dekat batu di tepi jalan. "

" Ya Allah, betapa berdosanya hambaMu ini. Astaghfirullahalazim. Ibu, Mal nak pergi jumpa dengan Azyan sekarang juga! "

----

Kamal terus mengusap pipi isterinya yang sedang bertarung nyawa dengan bantuan alat dan mesin. Tumpah air matanya melihat keadaan insan yang sering disakitinya. Betapa berdosanya dia kerana telah menyeksakan hidup isterinya sendiri. Kamal tidak dapat menahan sebak di dada lantas memeluk ibunya sambil menangis. Dalam hatinya, dia berjanji pisang tidak akan berbuah dua kali. Cukuplah sekali sahaja dia menyakiti hati Azyan. Tidak lama kemudian, doktor tadi kembali semula dengan wajah yang serius. 

" Maafkan saya, boleh saya bercakap sebentar dengan Puan Ilya? "

" Doktor, doktor boleh cakap apa yang doktor ingin sampaikan di sini saja. Tak apa, dia ni suami pesakit. "

" Baiklah, puan. Erm, pesakit ni ada tak mengadu sakit apa-apa kat puan dan encik? "

" Takda doktor. Cuma sekali, saya pernah tengok dia macam sedang tahan sakit dan muka dia pucat. Apabila saya tanya, dia mengadu bahawa kepala dia sakit. Tapi lepas tu, dia jarang dekat rumah, dia kata busy dengan schedule  kerjanya. "

" Baiklah. Saya harap puan dan encik bersabar sikit. Result CT scan pesakit baru sahaja keluar dan hasilnya menunjukkan bahawa pesakit menghidapi Astrocytoma grade 2 iaitu sejenis brain cancer. Dekat tahap ini, pesakit masih boleh dirawat dengan melakukan pembedahan. Selepas pembedahan pesakit haruslah menjalani kemoterapi dan radiasi. "

" Saya benarkan doktor buat apa sahaja asalkan dia selamat. "

Kamal semakin sebak mendengar pengakuan doktor. Tubuh Puan Ilya terus diraihnya ke dalam pelukan. Tangisan yang ditahan dilepaskan jua. Kamal tekad, dia akan menyayangi Azyan dengan sepenuh hatinya dan tidak akan mensia-siakan hidup Azyan.

----

" Rania! Jangan lari. Nanti jatuh. "

" Ibu, ibu! "

Azyan terus memeluk Rania. Rania yang gembira bertemu dengan ibunya terus memeluk tubuh Azyan dengan erat sekali. Kamal yang melihat terus memeluk Azyan dan Rania yang sedang berpelukkan. 

" Eee, kacau je baba ni. Orang tengah nak bersayang-sayang dengan ibu ni. "

" Alah, baba pun nak juga bersayang-sayang dengan ibu dan Rania. " 

" Eleh, baba lain kali je. Sekarang ni, biar Rania je dulu. "

Azyan hanya tersenyum melihat kerenah Kamal dan Rania. Sejak dirinya selamat menjalani pembedahan dua tahun yang lalu, Kamal bagaikan tidak pernah lepas untuk berada di sisinya. Apabila ditanya, Kamal menceritakan segalanya dan menyatakan khilafnya selepas mengetahui perkara yang sebenar. Selepas beberapa bulan kemudian, Kamal dan Azyan pun dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Rania Insyirah.

' Terima kasih, Ya Allah. '


This entry was posted on Sunday, May 26, 2013 and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response.

Leave a Reply